KUALA LUMPUR – Thailand ketika ini sedang menunggu keputusan akhir Amerika Syarikat (AS) sebelum memuktamadkan masa baharu bagi majlis pemeteraian perjanjian Thailand–Kemboja yang dijangka berlangsung pada jam 12 tengah hari esok sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ini kerana menurut jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, pihaknya telah mencadangkan waktu dianjak kepada jam 12 tengah hari esok bagi menyesuaikan dengan jadual rasmi negara susulan kemangkatan Seri Paduka Bonda Ratu Sirikit malam tadi.
“Kami dimaklumkan bahawa upacara penghormatan diraja untuk mendiang Bonda Ratu akan bermula seawal jam 4 petang esok. Oleh itu, kami sedang menyusun semula masa penandatanganan perjanjian tersebut supaya dapat dilaksanakan lebih awal,” katanya dalam sidang media di sini menjelangnya Sidang Kemuncak ASEAN di sini hari ini.
Kata Nikorndej, Bangkok kini berunding rapat dengan AS dan Malaysia berhubung pelaksanaan perjanjian tersebut.
“Ketika ini kami masih berbincang dengan pihak Kemboja dan Malaysia. Saya difahamkan Kemboja telah bersetuju dengan beberapa syarat baharu, dan kini kami hanya menunggu pengesahan rasmi mereka,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Nikorndej turut mengesahkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan hadir ke majlis berkenaan yang dijangka disaksikan oleh Presiden AS, Donald Trump bersama-sama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya boleh maklumkan Perdana Menteri memang dijadual hadir. Kami sedang menyusun semula jadualnya memandangkan beliau perlu berada di Bangkok untuk istiadat penghormatan diraja. Ada kemungkinan beliau tiba lewat malam ini atau awal pagi esok sebelum bergegas pulang semula ke Thailand,” jelasnya.
Mengulas peranan Presiden Trump dalam proses itu, Nikorndej berkata Thailand menghargai peranan aktif Amerika Syarikat dalam membantu memperkukuh dialog serantau.
“Kami sentiasa menekankan bahawa peranan Presiden AS amat penting. Idea dan inisiatif beliau dalam membantu proses damai ini amat dihargai oleh pihak kami,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian tersebut dikenali sebagai ‘Perjanjian Antara Thailand dan Kemboja’ dengan AS dan Malaysia sebagai penjamin yang menandakan usaha ke arah normalisasi hubungan diplomatik dan keselamatan rentas sempadan.
Perjanjian ini dilaporkan merangkumi pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan, penubuhan pasukan pemerhati ASEAN, serta pelaksanaan pelan tindakan bersama bagi mengurus sempadan dan menangani jenayah rentas negara.
Menurut laporan antarabangsa, dokumen berkenaan juga menetapkan protokol baharu untuk operasi pemusnahan bahan letupan (demining) serta tindakan kecemasan bersama bagi mengelakkan insiden bersenjata berulang di kawasan pertikaian.
“Perjanjian ini berbeza dengan yang dimuktamadkan pada Julai lalu kerana ia kini merangkumi aspek keselamatan, diplomasi dan pembangunan rentas sempadan. Kedua-dua negara telah menyiapkan pelan tindakan teknikal merangkumi pemindahan, kawalan keselamatan dan pengurusan kawasan sensitif.
“Kita optimis bahawa pelaksanaan perjanjian ini akan memperkukuh kestabilan dan kerjasama antara Thailand dan Kemboja yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada rantau ASEAN,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















