Suami mangsa (baju-T biru muda) dan kenalan mangsa dibawa ke mahkamah sebelum dibebaskan dengan jaminan.

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki tempatan termasuk suami kepada wanita dalam kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini, pada 18 Oktober lalu, dibebaskan dengan jaminan mahkamah hari ini.

Lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dibebaskan itu merupakan kenalan mangsa, dan dia sebelum ini direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan kes sama.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membenarkan masing-masing mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang beserta dua penjamin tempatan.

Difahamkan, pembebasan kedua-dua individu itu dibuat selepas polis menahan tiga lelaki warga Nepal termasuk suspek utama bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/10/25/dua-beradik-nepal-antara-direman-motif-bunuh-dua-beranak-bakal-terungkai/

Terdahulu, suami mangsa yang memakai baju-T warna biru muda serta seorang lagi lelaki itu tiba di pekarangan mahkamah jam 9.40 pagi dalam keadaan tangan bergari dan diiringi polis .

Kedua-duanya kemudian meninggalkan mahkamah kira-kira jam 11.15 pagi, dengan suami mangsa dibawa keluar oleh ahli keluarga tanpa pengetahuan media bagi mengelak ditemu bual.

Sementara itu, ahli keluarga kepada suami mangsa yang hadir di mahkamah memaklumkan, lelaki itu masih berada dalam keadaan trauma dan enggan ditemu bual ketika ini.

Media pada 18 Oktober lalu melaporkan, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun ditemui mati dalam satu pembunuhan kejam di rumah sewa mereka.

Mayat wanita itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah dengan keadaan kepalanya hampir putus manakala anaknya pula, meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah separa kayu itu.

Mayat mereka ditemui suami mangsa sekitar jam 7.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast