KUALA LUMPUR – Penyanyi Zizi Kirana menjelaskan, tidak tersinggung dengan kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan penyertaannya dalam misi kemanusiaan Sumud Global Flotilla yang turut disertai lelaki bukan mahram.
Zizi Kirana atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai isu itu termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pereka fesyen ternama.
Namun tegasnya, setiap misi kemanusiaan pasti disertai oleh wanita kerana mereka mempunyai tugasan dan amanah tersendiri yang perlu dilaksanakan sama seperti peserta lelaki.
“Setiap misi kemanusiaan mesti ada lelaki dan wanita. Tujuan kami, wanita-wanita ini, adalah untuk mewakili wanita Malaysia untuk bertemu dan menyantuni saudara-saudara wanita kita di Gaza.
“Jadi kalau nak mempertikaikan soal mahram, saya rasa cukup saya minta izin daripada suami dan keluarga,” katanya semasa ditemu bual media di tayangan perdana filem Hayya 3 Gaza, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu wanita menyertai misi kemanusiaan ini juga telah dijelaskan oleh pihak yang berautoriti termasuk mufti dan jabatan agama.
Zizi turut mengakui bahawa beliau tidak tersinggung dengan kritikan tersebut memandangkan sudah tidak aktif di media sosial selepas pulang daripada misi berkenaan.
“Lepas balik misi itu saya demam dan ambil masa berehat dengan keluarga, mak saya dari Sabah pun datang, jadi saya memang tak aktif di media sosial,” katanya – MalaysiaGazette
















