Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala dipercayai terjatuh semasa membuat pendakian di Bukit Batu Condong, Kampung Kemensah, Ampang, pagi tadi.

AMPANG – Aktiviti mendaki Bukit Batu Condong, Kampung Kemensah di sini bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki mengalami kecederaan dipercayai akibat terjatuh semasa membuat pendakian, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.56 pagi.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang digerakkan dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 12.06 tengah hari.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dipercayai telah terjatuh semasa membuat pendakian bukit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang sedang memapah seorang lelaki yang cedera menuruni Bukit Batu Condong, Kampung Kemensah, Ampang, hari ini.

Ahmad Mukhlis juga berkata, ketika ini pihaknya sedang membawa turun mangsa dari bukit tersebut.

“Kerja-kerja membawa turun mangsa sedang dilakukan dan mangsa masih sedarkan diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast