Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berangkat pulang selepas hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju menaik taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat itu melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin itu disifatkan sebagai satu perkembangan penting dalam hubungan dua hala yang sudah terjalin sejak 1957.

“Kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan sulung semasa Lawatan Rasmi Presiden AS bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 ini sebagai satu detik bersejarah,” menurut pemakluman dikeluarkan Wisma Putra hari ini.

Malaysia dan AS dalam pada itu turut mengiktiraf kerjasama strategik yang semakin berkembang dan bersetuju hubungan dua hala itu diperkukuhkan melalui CSP.

“Mengiktiraf kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang semakin berkembang antara Malaysia dan AS, Perdana Menteri dan Trump telah mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif,” demikian menurut kenyataan itu.

Penaiktarafan dianggap sebagai langkah signifikan yang akan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi tinggi, pertahanan, keselamatan tenaga serta kestabilan serantau.

“CSP ini akan terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan kongsi penting dan dipercayai di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan sama.

Untuk rekod, AS kekal sebagai antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) direkodkan pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast