KUALA LUMPUR – Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini adalah lebih baik daripada apa yang telah diumumkan sebelum ini.
Malah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, AS telah menawarkan akses yang lebih baik dan lebih terjamin kepada pasaran mereka.
Jelas beliau, melalui gabungan konsesi tarif dengan komitmen komersial, Malaysia telah menjamin penurunan tarif dari 25 peratus ke tahap 19 peratus.
Selain itu Malaysia juga telah mendapat komitmen yang lebih baik daripada AS iaitu pengecualian 1,711 talian tarif daripada pengenaan tarif 19 peratus.
Ia meliputi eksport utama Malaysia seperti minyak sawit; barangan berasaskan getah; produk koko; komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal yang secara kolektif menyumbang sehingga AS$5.2 bilion atau 12 peratus daripada jumlah eksport.
“Perjanjjian ini memeterai secara rasmi apa yang telahpun dipersetujui sebelum ini dan yang saya telahpun kongsikan di Parlimen dan juga dengan media beberapa kali.
“Tidak ada perubahan kepada komitmen awal kita,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Malaysia dan AS hari ini menandatangani perjanjian dagangan timbal balik berskala luas bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, komitmen Malaysia di bawah perjanjian tersebut akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam keputusan AS berkenaan Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 yang turut melibatkan produk seperti semikonduktor.
Dengan tarif import yang rendah juga, ujarnya, produk AS boleh memasuki pasaran Malaysia dengan lebih mudah dan berdaya saing.
“Ini menjadikan barangan berkualiti tinggi seperti peralatan perubatan, perkakasan IT (teknologi maklumat) dan alat ganti mesin lebih mampu milik untuk perniagaan dan pengguna Malaysia.
“Contohnya, pelbagai import jentera, komponen aeroangkasa dan alat automasi dari AS berteknologi canggih boleh diguna pakai sebagai input dan membantu pengilang Malaysia meningkatkan kecekapan dan meningkatkan rantaian nilai industri selaras dengan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
“Persekitaran perdagangan yang lebih terbuka dan boleh diramal juga meningkatkan keyakinan pelabur.
“Syarikat AS juga akan lebih cenderung untuk mengembangkan operasi di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















