Pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengiringi pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa memasuki ruang udara Malaysia, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuktikan keupayaannya apabila diberi kepercayaan mengiringi pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa memasuki ruang udara Malaysia, hari ini.

TUDM mula mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang itu pada tahun 1997 selepas penghantaran pesawat-pesawat itu daripada kilangnya milik Boeing (dahulu McDonnel Douglas) di St Louis, Missouri, Amerika Syarikat.

Mengikut usianya, pesawat-pesawat F/A-18D Hornet kini sudah hampir memasuki usia 28 tahun.

Air Force One pula merupakan pesawat rasmi Presiden AS selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sempena lawatan Trump ke negara ini  bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 747-200B itu diubah suai khas untuk berfungsi sebagai ‘White House terbang’ yang bukan sekadar pengangkutan.

Ia juga berperanan sebagai pusat arahan, pejabat dan kubu terbang, lengkap dengan sistem komunikasi selamat yang kalis gangguan, bilik perubatan, bilik mesyuarat serta ruang kediaman mewah yang sesuai dengan jawatan paling berkuasa di dunia.

Pesawat F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, pakar Penerbangan, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian sebelum ini pernah berkata, Hornet dilengkapi dengan Equipment Condition Monitoring System yang memantau secara jitu keadaan dan keupayaan pesawat itu secara berterusan.

Katanya, setiap kali pesawat Hornet selesai menjalankan ‘sortie’, Memory Unit pesawat itu akan dikeluarkan dari pesawat dan data penerbangan dari pesawat itu akan diekstrak dan dianalisakan untuk melihat sama ada ‘snag’ atau keganjilan terjadi semasa penerbangan.

“Malah, penyelenggaraan pesawat Hornet juga berdasarkan analisa data dan menjurus kepada penggabungan Penyelenggaraan Ramalan dan Penyelenggaraan Berjadual.

“Kaedah dan amalan penyelenggaraan sama turut diguna pakai tentera udara AS, Jepun serta negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, lawatan Trump hari ini serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-20.

Lawatan dibuat atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Ini lawatan pertama Trump ke Asia Tenggara sejak beliau kembali semula memegang jawatan sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lalu.

Sepanjang lawatannya, Trump turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri hari ini sebelum berlepas pulang malam ini untuk ke Jepun bagi mengadakan lawatan ke negara matahari terbit itu bermula esok selama dua hari.

Kali terakhir Trump melawat Jepun ialah pada tahun 2019 atas jemputan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Lawatan Trump ke Jepun merupakan sebahagian daripada jelajah ke Asia, yang bakal menyaksikan Presiden AS itu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia dan lawatan rasmi ke Korea Selatan, minggu hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast