Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão menegaskan, penyertaan rasmi negaranya sebagai anggota ke-11 ASEAN bukan untuk mengejar keuntungan ekonomi tetapi untuk memperkukuh kedudukan dan suara negara itu dalam komuniti serantau.

Xanana Gusmão menyifatkan penerimaan itu sebagai langkah penting bagi sebuah negara muda yang masih dalam proses pembinaan semula daripada kesan peperangan.

“Kami sebuah negara berusia 23 tahun, masih dalam proses membina negara dan institusi kami. Ia tidak mudah sebab itu kami mengambil masa lebih 10 tahun untuk sampai ke tahap ini,” katanya pada sidang media khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, penyertaan dalam ASEAN memberi peluang kepada Timor-Leste untuk belajar daripada negara jiran, membina kapasiti tenaga kerja serta memperkukuh kerjasama teknikal dan diplomatik.

“Kami bukan masuk ASEAN untuk mencari keuntungan segera. Kami datang untuk belajar, berkongsi dan bekerjasama. Sendirian, suara kami kecil tetapi bersama ASEAN, suara kami akan lebih didengari,” ujarnya bersemangat.

Beliau menjelaskan, lebih 60 peratus penduduk Timor-Leste terdiri daripada golongan muda dan cabaran utama kini ialah mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

“Manfaat terbesar penyertaan ini ialah peluang pertukaran pengetahuan dan latihan bagi memperkukuh generasi muda yang akan menentukan masa depan negara,” katanya.

Mengulas tentang ekonomi, beliau mengakui Timor-Leste masih bergantung pada hasil petroleum namun menegaskan, negaranya komited terhadap ketelusan melalui penyertaan dalam Inisiatif Ketelusan Industri Ekstraktif (EITI) dan kepimpinan dalam G7+, sebuah kumpulan negara pasca-konflik yang ditubuhkan pada 2010.

“Kami tidak kaya tetapi kami belajar bagaimana mengurus sumber dengan jujur. Kami bangga menjadi negara pertama di Asia yang mencapai piawaian EITI,” katanya.

Beliau turut menyatakan kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta meningkatkan produktiviti petani melalui pembiayaan mikro dan program ekonomi tempatan.

“Kami mahu membina ekonomi berasaskan rakyat bukan hanya bergantung pada minyak. Ini masa untuk memperkukuh asas ekonomi negara,” tambahnya.

Xanana Gusmão menegaskan, penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN bukan simbolik semata-mata tetapi satu peluang untuk membina daya tahan dan berdikari sebagai sebuah negara baharu yang ingin berdiri sama tinggi dengan jiran serantau.

“Kami tidak datang untuk meminta tetapi untuk menyumbang. Kami mahu belajar dan berkembang bersama keluarga ASEAN,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast