PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menerima gaji mencecah RM1.2 juta setahun dan beberapa faedah lain ketika memegang jawatan itu.
Peguam Datuk Tania Scivetti yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berkata, Shahrol Azral menerima gaji RM99,000 sebulan termasuk seorang pemandu peribadi hasil hubungannya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut beliau, melalui campur tangan dan syor daripada Jho Low, beliau dilantik sebagai CEO 1MDB menyebabkan jumlah gajinya meningkat tiga kali ganda daripada RM30,000 yang diperolehinya sebelum itu.
Ujar Tania, bukan itu sahaja, Shahrol Azral menerima bonus RM160,000 apabila menyertai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
“Walaupun selepas dia dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Shahrol Azral tetap menerima gaji yang sama meskipun tidak lagi berkhidmat secara langsung dengan 1MDB.
“Semua faedah yang diperolehinya adalah hasil kaitannya dengan Jho Low yang membentuk kepuasan sendiri seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Bukan itu sahaja, Amhari (bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin) juga menerima AS$200,000 daripada Jho Low meskipun dia mendakwa ianya hutang, namun jumlah itu tidak pernah dibayar,” ujar beliau.
Tania menyatakan demikian ketika menggambarkan kepada mahkamah salah laku Shahrol Azral yang merupakan pengurusan tertinggi 1MDB beserta bukti bahawa beliau mendapat manfaat daripada Jho Low.
Beliau menjelaskan, hakim bicara perlu memahami terlebih dahulu bagaimana Shahrol Azral boleh dilantik sebagai CEO 1MDB yang mana bukti menunjukkan dia pernah bekerja dengan Jho Low sebelum terlibat dalam 1MDB.
Beliau menyatakan, Shahrol Azral bukan saksi neutral, sebaliknya saksi berkepentingan dan didapati pecah amanah manakala 1MDB sendiri memfailkan saman sivil melebihi berbilion ringgit terhadapnya atas kecuaian.
Hujah Tania, Shahrol Azral dalam keterangannya menyatakan, dia hanya ‘menandatangani dokumen yang dibawa kepadanya’, namun bukti menunjukkan melalui tandatangannya, berlaku pemindahan wang berbilion-bilion dolar namun bukan semua untuk 1MDB, sebaliknya untuk poket Jho Low.
Kata Tania, Shahrol Azral juga mengaku menandatangani dua perjanjian kerjasama dan dua arahan pengiriman wang AS$1.63 bilion dipindahkan ke Aabar Investment PJS Limited, tanpa sebarang kelulusan Lembaga, ketika berjawatan CEO dan pengarah 1MDB.
Menurut beliau, Shahrol Azral melakukan kecuaian kerana mengakibatkan AS$1.63 bilion dana 1MDB diseleweng.
“Sememangnya Shahrol Azral mempunyai setiap motif untuk melindungi dirinya daripada pendakwaan dan liabiliti.
“Mahkamah perlu melihat prespektif bahawa tindakan Jho Low memberi jaminan jawatan CEO dan gaji RM99,000 sebulan serta faedah yang mana sebagai balasan Jho Low mendapat manfaat yang besar iaitu menerima AS$958 juta pada 2012 melalui Aabar Investment PJS.
“Secara keseluruhan, menjelang 2012, Jho Low telah memperoleh AS$1.988 bilion, iaitu hampir AS$2 bilion,” ujarnya.
Oleh yang demikian, beliau memohon mahkamah menolak versi pendakwaan bahawa saksi itu adalah orang bawahan yang berbakti untuk kepentigan Najib, walhal fakta yang dikemukakan adalah berbeza.
Bekas Perdana Menteri sedang dibicarakan atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette
















