KETERLIBATAN kanak-kanak dan remaja dalam salah laku berkaitan buli, seks dan jenayah bawah umur kini cenderung dilaporkan di media massa dan media sosial.
Secara kumulatif, laporan peratusan salah laku yang melibatkan kes keganasan seksual terhadap kanak kanak yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes berkaitan salah laku seksual sejak tahun 2020 hingga 2024, dengan 6,462 kes.
Manakala salah laku berkaitan buli juga menunjukkan peningkatan kes seramai 5,703 pelajar yang terlibat buli pada 2024 berbanding 3,887 pelajar yang terlibat tahun 2022.
Sungguhpun tersedia pelbagai garis paduan, modul dan tatakelola yang khusus bagi membendung kejadian seperti daripada berulang, rekod berkaitan data salah laku ini tetap meningkat.
Punca kepada salah laku tersebut berakar umbi daripada pelbagai faktor antaranya seperti persekitaran keluarga, pengaruh rakan sebaya, dinamik dalam interaksi sosial remaja, kurang kesedaran kendiri, pengabaian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja, pengaruh media sosial dan permainan “game” atas talian dan pelbagai lagi.
Kesan ketara yang dapat dilihat dalam kalangan anak anak remaja kini apabila terlalu leka dengan mainan atas talian bersama rakan-rakan maya telah mengakibatkan mereka hilang masa untuk diri sendiri dan keluarga.
Masa berkualiti sepatutnya dijalani bersama ahli keluarga seperti sarapan ataupun makan malam, beriadah mahupun beribadah, namun dek kerana leka hingga menyebabkan ketagihan, hilang selera makan, tidur yang tak teratur, emosi yang tidak stabil, fikiran terganggu serta tingkah laku seolah olah diprogramkan seperti robot.
Rutin harian yang terganggu akibat pengaruh diatas bukan sahaja menjejaskan akademik dan hubungan mereka dengan orang lain, iajuga memberi kesan mendalam perbentukan sahsiah dan perkembangan psikologi mereka.
Tanpa kita sedar, apa yang dinyatakan ini meninggalkan kesan yang buruk kepada remaja apabila mereka terlibat secara langsung dan tidak langsung. Prevalen kepada kecelaruan psikologi akibat daripada hal tersebut mencatatkan rekod bagi kecelaruan psikologi seperti kemurungan, kerisauan dan tekanan melampau di kalangan remaja meningkat saban tahun.
Pantau media sosial
Pada minggu lalu, Jemaah Menteri telah membincangkan isu keselamatan di sekolah yang semakin membimbangkan, termasuk kes buli dan jenayah, serta mencadangkan tiga langkah segera bagi menanganinya.
Tiga langkah pencegahan utama diumumkan iaitu meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah, melarang penggunaan telefon pintar dan media sosial bagi pelajar berusia 16 tahun ke bawah, serta memperkukuh kandungan pendidikan dengan penekanan terhadap nilai dan akhlak.
Menariknya, langkah kedua yang dicadangkan kerajaan ialah meneliti had penggunaan media sosial bagi pelajar berusia bawah 16 tahun. Langkah ini timbul susulan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang berpotensi mencetuskan tingkah laku negatif dalam kalangan remaja.
Pempengaruh vs Pempengeruh
Umum ketahui, pempengaruh media sosial kini dilihat sebagai ikon, idola dan sumber rujukan utama bagi golongan remaja serta belia bermula dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru, para pempengaruh memegang tanggungjawab besar dalam membentuk pemikiran dan sikap pengikut mereka.
Mereka seharusnya berperanan sebagai pempengaruh yang menyebarkan nilai-nilai positif, bukannya menjadi pempengeruh yang menyumbang kepada penyebaran budaya atau tingkah laku yang tidak sihat. Dengan kata lain, pengaruh mereka perlu dimanfaatkan untuk memperkasa akhlak, membina sahsiah, dan menyemai rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
Peranan pempengaruh dalam mendidik masyarakat sebenarnya amat besar, walaupun dilakukan secara tidak langsung dan bukan hanya keghairahan mengejar jumlah like, follower dan share semata.
Oleh itu, setiap kandungan yang dikongsikan di media sosial perlulah bersifat membina dan memberi nilai positif. Hantaran yang baik bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada masyarakat, malah mampu melahirkan impak yang positif serta memperkukuh tanggungjawab sosial dalam kalangan pengguna media sosial.
Golongan yang dekat dan rapat dalam kalangan remaja dan belia ialah ibu bapa dan guru. Dan kini golongan ketiga yang sangat rapat adalah pempengaruh media sosial.
Amatlah baiknya jika pempengaruh media sosial ini sama-sama turut cakna dan membantu dalam memulihkan perhatian golongan tersebut dalam sama-sama melahirkan satu masyarakat yang mempunyai nilai-nilai yang baik dan berbudaya tinggi dan mengekang permasalahan sosial sebagai sumbangan Khidmat Masyarakat(CSR) mereka.
Oleh: Nur Syuhada Mohd Munir, Pensyarah (Kaunselor Berdaftar), Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) &
Roslan Rusly, Calon Doktor Falsafah(Komunikasi), Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi(MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan(FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).
















