Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada media berkenaan Majlis Menandatangani Mou antara Mara dengan Malaysia Profesional Accountacy Centre (MyPac) di Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Projek rintis pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menunjukkan kesan positif khususnya dalam kalangan guru sejak tiga bulan pelaksanaannya.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun masih awal untuk pihaknya membuat penilaian namun bebanan guru kian berkurangan dan mereka lebih fokus kepada pengajaran di dalam kelas.

“Kita dapat lihat projek rintis ini dapat mengurangkan beban guru-guru yang ada hari ini di MRSM. Kemudian keberkesanan dalam memastikan tahap disiplin dan juga pematuhan kepada peraturan di asrama ini amat baik.

“Maklum balas saya dapat daripada pelajar-pelajar setakat semalam, mereka mengatakan dengan adanya warden yang sentiasa memantau dari jam 10 malam hingga 7 pagi, guru tidak lagi terbeban,” katanya hari ini.

Terdahulu Asyraf menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MARA, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Pusat Akauntan Profesional Malaysia (MyPAC).

Sebelum ini, media melaporkan, projek rintis pelantikan veteran ATM sebagai warden di dua MRSM yang bermula Ogos lepas, berpotensi diperluas ke seluruh negara sekiranya penilaian enam bulan pelaksanaannya menunjukkan hasil positif.

Asyraf Wajdi juga berkata, dengan adanya warden dalam kalangan veteran ATM, tenaga pengajar di MRSM tidak perlu bersengkang mata dan pemantauan keselamatan di malam hari kini dipikul bekas anggota keselamatan itu.

“Sebelum adanya warden-warden dalam kalangan bekas tentera ataupun anggota beruniform, mereka boleh tahu bila guru ini bertugas, pelajar tahu guru tidak mungkin boleh sentiasa buat pemantauan selepas pukul 12 malam.

“Sebab esok guru pun kena mengajar, jadi bila adanya warden yang sepenuh masa ini, mereka tahu bila lampu perlu ditutup, jadi mereka tidak boleh buat perkara yang menyalahi peraturan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast