KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menamatkan atau menstruktur semula kursus pengajian di universiti bukan bermakna ia dibuat untuk ‘melelong’ kursus yang tidak laku.
Tetapi proses itu tertakluk dengan relevansi dan keperluan pasaran sekarang, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurutna, pendekatan universiti berbuat demikian bagi bertujuan untuk memastikan kursus pengajian mereka masih relevan untuk dipelajari berdasarkan pasaran semasa.
“Selama ini apabila universiti mendapati bahawa ada kursus-kursus yang tidak lagi relevan maka merekalah yang akan mengambil keputusan kerana mereka lebih tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit serta memeterai Memorandum Persefahaman bersama Sultan Ahmad Shah medical Centre di sini hari ini.
Walaupun begitu, Zambry menegaskan, pendekatan sebegitu bukan hanya berpaksikan nilai pasaran semata-mata kerana peranan utama universiti adalah untuk melahirkan pelajar yang berilmu.
“Kita tidak mahu universiti hanya tertakluk kepada nilai pasaran semata-mata kerana kalau itu dilakukan bermakna kita telah mengorbankan satu prinsip asas kepada universiti,” ujarnya.
Selain itu, beliau menolak dakwaan yang mengatakan universiti menawarkan kursus-kursus kepada sesiapa sahaja dengan alasan ia tidak relevan.
“Universiti tidak bersifat begitu, ada pelajar yang memohon satu kursus tetapi dia mendapat kursus yang lain. Kursus lain itu, daripada penilaian UPU (Unit Pusat Universiti) biasanya berkaitan dengan kelulusan pelajar tersebut, jika dia sesuai dengan kursus ini dan itu, inilah yang dilakukan oleh pihak UPU dan universiti,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, penilaian kursus yang relevan telah diamalkan sejak dahulu lagi oleh pihak universiti bagi menjamin keterjaminan pelajar dan menyumbang kepada pembangunan negara. – MalaysiaGazette















