KUANTAN – Seorang pekerja Pelabuhan Kuantan maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh di bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuantan- Kemaman, 6 petang semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Kommisioner Abu Samah Ashari berkata mangsa, Muhammad Azamie Mohamad, 22, disahkan meninggal dunia akibat cedera parah.
“Siasatan awal mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Estima dipandu oleh lelaki berusia 67 tahun bersama dua penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke bandar Kuantan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, semasa membelok ke kanan untuk membuat pusingan-U, mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hasil siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu MPV kerana gagal rapat ke kanan sebelum belok ke kanan hingga mengakibatkan kemalangan berlaku.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. – MalaysiaGazette















