Perdana Menteri Timor Leste ,Kay Rala Xanana Gusmão bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencatat detik bersejarah apabila Timor-Leste secara rasminya diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11, sekaligus melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi hasil keteguhan Malaysia sejak sekian lama menyokong penyertaan negara tersebut.

“Semalam, kita telah mendengar ucapan dasar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Beliau menegaskan Malaysia telah memimpin ASEAN untuk kekal bersatu, relevan dan berpaksikan rakyat.

“Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN hasil sokongan Malaysia melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti sejak sekian lama,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian, hari ini.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian, hari ini.

Selain itu, katanya, Malaysia juga mencatat lagi sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya ditandatangani dengan disaksikan oleh perdana menteri dan Presiden Donald Trump.

“Perjanjian ini menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara, sebuah kejayaan berakar daripada rundingan damai yang dimulakan Perdana Menteri pada Julai lalu.

“Langkah ini menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan, dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mempengerusikan lima korum dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, pada hari pertama, pada Ahad.

“Antaranya Sidang Kemuncak Asean ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3, Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 (secara maya),” katanya.

Menurutnya, sidang-sidang tersebut berjaya menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama strategik ASEAN bersama rakan-rakan strategik atau rakan dialog.

“Malah memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan, sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap yang lebih berpengaruh di pentas global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast