PUTRAJAYA – Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang kini menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana merogol pembantu rumah warganegara Indonesia, memohon Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan tersebut.
Paul mendakwa, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Oktober lalu yang mengekalkan sabitan dan hukumannya, adalah tidak adil daripada segi prosedur.
Oleh yang demikian, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu memfailkan permohonan semakan supaya rayuannya didengar semula di hadapan panel berlainan.
Paul memfailkan permohonan itu di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui firma guaman Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu minggu lalu.
Melalui afidavit sokongan, katanya, mahkamah tertinggi negara menyimpang daripada tafsiran undang-undang sedia ada berkaitan Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah, tanpa memberi peluang kepada pasukan pembelaan untuk berhujah.
Selain itu, ujarnya, Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menerusi keputusan majoriti, tidak mengambil kira kenyataannya kepada polis di bawah Seksyen 112, yang dirakam dua hari selepas kejadian didakwa berlaku.
Yong mendakwa kenyataan itu sepatutnya menyokong pembelaannya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berpuas hati, sabitan dan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan, tahun lalu adalah munasabah dan selamat untuk dikekalkan.
Beliau yang yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah berpuas hati, keterangan mangsa kredibel dan diterima oleh mahkamah.
Ujar Hakim Wan Ahmad Farid, hakim bicara telah menilai keterangan mangsa yang menyatakan dia diberi amaran oleh perayu (Paul) supaya tidak mendedahkan kejadian tersebut kepada isterinya.
Selain itu, panel tersebut berpendapat, mangsa menangis ketika menceritakan kejadian rogol tersebut kepada SP16 ketika dalam kereta sebelum dibawa membuat laporan polis.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak mendapati Paul, 55, bersalah merogol pembantu rumah ketika itu berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019. – MalaysiaGazette
















