PUTRAJAYA – Pihak pembelaan berhujah di Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengarahkan wang RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun Ambank peribadinya yang mewajarkan beliau dikaitkan dengan pertuduhan pengubahan wang haram.
Peguam Datuk Tania Scivetti berhujah, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bekas Perdana Menteri sendiri mengarahkan AmIslamic Bank untuk menukar dua kiriman wang dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada sembilan kredit dalam Ringgit Malaysia (RM) supaya nilainya setara yang kemudian boleh diterima ke dalam akaun peribadinya.
Hujah beliau, perkara itu dibuktikan melalui keterangan Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu (saksi pendakwaan ke-41) bahawa Najib tidak mempunyai peranan dalam memulakan atau membenarkan penukaran dolar AS kepada Ringgit Malaysia.
Menurut Tania, Joanna ketika memberi keterangan tidak pernah berkomunikasi secara langsung dengan Najib mengenai penukaran AS$681 juta kepada mata wang tempatan.
Sebaliknya, hujah pembelaan, Joanna bertindak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, walhal dia tidak mempunyai kuasa ke atas akaun Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Tania selanjutnya berhujah, isu berkaitan arahan penukaran kiriman wang itu dikuatkan lagi melalui keterangan Najib sendiri bahawa beliau tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low mahupun bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil untuk melaksanakan sebarang tukaran wang asing.
Hujah peguam, keterangan Najib adalah konsisten dengan surat mandat kontemporari (P1200 dan P1307), yang secara nyata dikhaskan kepada beliau secara peribadi untuk meluluskan transaksi tersebut.
“Di bawah peraturan itu, AmBank dikehendaki mendapatkan kebenaran Najib untuk arahan di luar skop terhad yang diberikan kepada Nik Faisal selaku pemegang mandat akaun peribadi beliau,” ujarnya.
Tania seterusnya menghujahkan, amalan perbankan standard menghendaki pegawai bank mendokumenkan semua transaksi arahan, terutamanya apabila diberikan melalui BBM atau telefon, untuk memastikan akauntabiliti dan kebolehauditan dilakukan dengan betul.
Katanya, lebih-lebih lagi apabila pemegang akaun adalah Perdana Menteri, jawatan yang benar-benar layak dikategorikan sebagai ‘Individu Yang Mempunyai Pengaruh Politik’ di bawah Anti Pengubahan Wang Haram.
Namun, peguam menghujahkan, pendakwaan tidak menghasilkan sebarang rekod kontemporari bagi membuktikan arahan yang dikatakan telah diterima oleh Joanna Yu.
“Mahkamah tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tertanya-tanya sama ada arahan benar-benar diberikan atau adakah Joanna Yu hanya memproses penukaran secara robotik tanpa berunding dengan pemegang akaun?
“Bukti menunjukkan Datuk Seri Najib tidak pernah
mengarahkan, meluluskan atau membenarkan penukaran wang AS$620 dan AS$61 juta kepada Ringgit Malaysia yang menyebabkan RM2.08 bilion diterima masuk ke dalam akaun peribadi beliau.
“Kami menghujahkan, tanpa membuktikan arahan itu daripada Najib, pertuduhan pertama hingga kesembilan bagi kesalahan pengubahan wang haram gagal dibuktikan melampaui tahap keraguan munasabah,” hujah beliau.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes bekas Perdana Menteri yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette
















