Van yang dirampas seludup batang rokok tidak bercukai di Kepong pada Ahad lalu. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan ditahan selepas menyeludup lebih tiga juta batang rokok disyaki tidak bercukai menerusi Op Taring Alpha 1 di kawasan parkir hadapan TNB Kepong Commercial Park di sini pada 26 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 31 hingga 44 tahun.

Serbuan dilakukan sekitar 6.50 pagi pada Ahad lalu hasil risikan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

“Kita telah menerima maklumat berlaku aktiviti pemunggahan rokok yang disyaki tidak bercukai kastam dari sebuah lori bonded enam tan kepada tiga van, sebuah lori bonded satu tan dan sebuah kereta di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas enam kenderaan itu, kita telah merampas pelbagai barangan melibatkan 3,460,000 batang rokok, tiga van, dua lori dan sebuah kereta Hyundai Starex selain lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Semakan lanjut mendapati jumlah keseluruhan rampasan rokok dianggarkan bernilai RM6,228,000 manakala nilai rampasan keseluruhan dalam operasi itu kira-kira RM9,526,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lori enam tan yang dirampas seludup batang rokok tidak bercukai di Kepong pada Ahad lalu. Foto PDRM

Kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 dan operasi itu dilancarkan bagi mengekang aktiviti perniagaan, penyimpanan dan penjualan rokok tidak bercukai sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan terbabit membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan tidak berkastam.

“Bagi tempoh awal Januari sehingga 26 Oktober lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan sebanyak 218 serbuan di seluruh negara dan 394 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Ia termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-wast. Manakala keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM690.32 juta,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast