KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyambut baik pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN ke – 47 yang dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din berkata, pihaknya berpandangan dasar Kerajaan Madani di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memperkukuh keupayaan negara dalam memanfaatkan peluang perdagangan bebas ASEAN terutamanya melalui pengurangan tarif, integrasi ekonomi serantau, dan pengembangan pasaran eksport.

Menurut beliau, Sidang Kemuncak ASEAN ke – 47 dilihat akan memberi kesan yang positif kepada ekonomi Malaysia melalui syarikat serta usahawan Malaysia dengan menikmati penghapusan tarif bagi beberapa barangan import, mengembangkan akses ke pasaran serantau lebih 650 juta pengguna dan memperkukuh rantaian bekalan dan pelaburan strategik di rantau ini.
Ia juga menonjolkan produk halal dan jenama tempatan di peringkat antarabangsa.
“Kepimpinan Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan ASEAN telah membuka ruang luas kepada usahawan tempatan. Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi pusat perdagangan Islam dan hab ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan yang sama.
DPIM percaya dasar dan pendekatan kerajaan Madani kini memberi semangat dan keyakinan baharu kepada komuniti usahawan Muslim di Malaysia untuk bersaing di pasaran global. – MalaysiaGazette















