Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini bagi menghadiri proses perbicaraan kes.

MELAKA – Seorang pengurus sebuah syarikat insurans memberitahu Mahkamah Majistret Melaka hari ini kejadiannya dimaki dan dipukul oleh seorang kenamaan bergelar Datuk Seri berpunca apabila seorang pekerja wanita bertemu dengannya untuk ditemu duga pada November tahun lalu.

Mangsa, Muhammad Nur Hakim Baharudin, 31, yang juga saksi pendakwaan memberi keterangan demikian pada perbicaraan pertama di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang menemu duga seorang wanita di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana sebelum didatangi tertuduh, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, yang juga Pengarah Urusan Fazil Group.

Turut hadir ketika itu adalah empat tertuduh lain termasuk anak perempuan Mohamad Fazil, Nur Amalina Mohamad Fazil, 34, suaminya, Amran Azmi, 33, dan dua pekerja syarikat itu, Azian Ab Rahim, 38, dan Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 29.

Muhammad Nur Hakim memberitahu mahkamah, kejadian berpunca apabila dia diberitahu seorang wanita yang juga pekerja
Mohamad Fazil mahu berhenti kerja dan beralih ke syarikat insurans lain.

Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, (depan) di pekarangan Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini bagi menghadiri proses perbicaraan kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa mencapai niat bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Nur Hakim di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.30 malam pada 14 November 2024.

Mohamad Fazil dan Azian Ab. Rahim turut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan turut dihadiri barisan peguam pemerhati mewakili Muhammad Nur Hakim iaitu Muhamad Harraz Basyir Muhamad Hisham, ⁠Sa’eed Khaliq,Muhammad Az-Zubayr Hisham, Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri dan Mohd Jaafar Mohd Hamzah Murghayah.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 21 dan 22 Januari tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast