KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump seorang pendengar yang baik selepas melalui pengalaman menaiki kenderaan bersama dari KLIA ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Perdana Menteri berkata, peluang yang diperoleh tanpa disangka itu di dalam kenderaan rasmi dikenali sebagai The Beast turut mendedahkan sisi sebenar Trump yang juga pemimpin kuasa nombor satu di dunia.
Menurut beliau, Trump juga sedia memberi pandangan malah penuh sopan menolak pandangan berbeza terhadap isu tertentu yang tidak dipersetujuinya.
“Saya pergi ke dalam (kereta) dan kemudian sudah tentu saya perlu mengetahui lebih lanjut tentang kereta. Jadi ia mengambil masa beberapa minit.
“Tetapi sudah tentu saya menggunakan kesempatan untuk terlibat dan Presiden Trump seorang pendengar yang baik dalam pertemuan peribadi itu.
“Beliau memberi beberapa pandangan dan penuh sopan tidak setuju dengan beberapa isu. Beliau mahu tahu tentang hubungan negara jiran terutamanya dengan China, jemputan ke atas Brazil dan Afrika Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut memberitahu, Trump tentang tarif 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia masih kadar yang tinggi.
Namun kata Perdana Menteri, Trump telah menetapkan sifar tarif untuk fasiliti dan eksport utama negara seperti semikonduktor dan berterima kasih kepada beliau.
“Kemudian saya menghabiskan sedikit masa membincangkan tentang isu Gaza. Beliau sedar tentang perjumpaan saya dengan pemimpin Hamas yang lalu.
“Saya menjelaskan kepadanya kenapa saya berada di Doha. Saya mengenali satu atau dua daripada mereka. Saya memutuskan untuk berjumpa dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

















