JOHOR BAHRU – Hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa berada dalam keadaan rapuh dan berpecah.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, masing-masing cuba merebut pengaruh dan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang.
“Kedua-dua parti ini perlu berhenti mempermainkan persepsi rakyat dengan berpura-pura seolah-olah mereka masih bersatu padu,” katanya dalam kenyataan.
Dakwanya lagi, hubungan Bersatu dan Pas termasuk di negeri ini dilihat tidak lagi sehaluan selepas beberapa isu yang melanda dalam PN.
Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata, kerjasama mereka semakin longgar dan sering dipenuhi dengan kenyataan bercanggah serta pertikaian terbuka antara pimpinan masing-masing.
“Apa kesudahan hubungan antara Bersatu dan Pas di Johor? Kedua-dua parti yang kononnya berpadu di bawah gabungan PN kini kelihatan tidak lagi sehaluan,” ujarnya.
Rakyat negeri ini katanya, berhak mengetahui pendirian sebenar Bersatu Johor terhadap krisis kepimpinan parti mereka dan arah tuju perjuangan yang kini semakin kabur antara kepentingan peribadi dan perjuangan rakyat.
“Namun apa yang lebih mengecewakan ialah Bersatu Johor yang kekal membisu dan tidak menunjukkan sebarang pendirian rasmi dalam menghadapi kemelut ini.
“Sikap berdiam diri Bersatu Johor bukan sahaja mencerminkan kelemahan kepimpinan negeri tersebut, malah menimbulkan persoalan sama ada mereka masih mempunyai hala tuju politik yang jelas untuk rakyat Johor,” katanya.
Beliau berpendapat, rakyat Johor tidak akan mempercayai parti yang gagal menyelesaikan krisis dalaman sendiri tetapi masih berlagak sebagai alternatif kepada kerajaan.
Johor tegasnya, memerlukan kepimpinan yang stabil, berprinsip dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar retorik politik dan sandiwara perebutan kuasa.
Jumaat lalu, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dipetil berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu masih layak menjadi Perdana Menteri.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, Muhyiddin mempunyai rekod luas dalam pentadbiran negara termasuk menerajui 11 kementerian serta pernah menjadi Menteri Besar Johor.
“Jika dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau hanya pernah berada di lima kementerian dan tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri.
“Pengalaman Muhyiddin mengurus krisis besar ketika pandemik Covid-19 turut mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk WHO dan Bank Dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















