Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak wajar melontarkan pandangan atau kritikan keras terhadap dasar kerajaan secara terbuka sebelum dibincangkan secara dalaman.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faezuddin Puad berkata, tujuannya bagi mengelak disalah tafsir penyokong sendiri atau dijadikan peluru oleh pembangkang untuk menyerang Perdana Menteri.

Jelasnya yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai, ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bertungkus lumus berjuang mengharumkan nama negara dan berusaha keras meraih kepercayaan pelabur bagi memajukan ekonomi rakyat.

Katanya, pendekatan Hassan yang lantang di Dewan Rakyat menyerang kerajaan terutama Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimerterai Ahad lalu, adalah terlalu keras.

“Mungkin kita boleh contohi pendekatan YB Wong Chen yang baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangannya terhadap isu yang sama melalui cara berhemah apabila beliau meminta penjelasan rasmi tanpa menyerang kerajaan dan PMX.

“Kita dalam satu pasukan yang sama. Punyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman dan makmur. Justeru, teguran yang membina wajib diteruskan dan mesti dialu-alukan.

“Yang penting, teguran itu biar membawa ke arah menguatkan parti dan bukan menyerang hingga boleh menyebabkan parti rebah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, susulan kritikan keras itu, Hassan tidak perlu bimbang dengan nasibnya kerana PKR sejak dahulu terkenal sebagai sebuah parti yang terbuka.

Dakwanya, PKR tidak seperti sebuah parti politik daripada pembangkang baru-baru ini yang cepat memecat atau menggantung ahlinya hanya kerana berbeza pandangan.

“Selama ini, berapa banyak kritikan keras YB Pak Hassan terhadap parti dan kerajaan disambut dengan hukuman penggantungan atau pemecatan? Tidak ada,” katanya.

Selepas pembangkang menggesa supaya sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membahaskan isu perjanjian itu, Hassan mengkritiknya semalam.

Hassan turut mempersoalkan perjanjian berkenaan kerana didakwa mendatangkan banyak kemudaratan kepada negara.

Beliau juga secara terbuka mengkritik pihak yang terlibat dalam rundingan perjanjian itu kerana disifatkan menggadaikan maruah negara hanya untuk menurunkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia kepada 19 peratus.

“Saya amat dukacita. Malaysia sebuah negara berdaulat bukan sahaja secara politik tetapi juga dari segi ekonominya. Bagaimana dalam masa tidak sampai dua hari, Presiden AS, Donald Trump datang ke sini dan kita telah menandatangani perjanjian yang melibatkan begitu banyak konsesi,’’ katanya ketika memabahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Malaysia terpaksa menyerahkan kepada AS sebanyak RM1 trilion dalam tempoh beberapa tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast