KUALA LUMPUR – Timor-Leste bukan sekadar calon anggota baharu, tetapi telah lama menjadi sebahagian daripada keluarga rantau ASEAN dengan berkongsi sejarah, nilai dan perjuangan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan besar harus diberikan terhadap ketabahan rakyat negara itu yang melalui sejarah perjuangan panjang demi kebebasan serta maruah bangsa.
“Negara ini meniti sejarah panjang perjuangan yang sarat dengan peristiwa derita dan menyayatkan, selain kezaliman dan kebobrokan yang dihamburkan imperalis ke atas warganya,” katanya di laman Facebook, hari ini.
Selepas merdeka pada 2002, Timor-Leste menyatakan hasrat untuk menjadi anggota ASEAN sebagai sebahagian daripada integrasi rantau dan secara rasminya negara itu memohon menyertai keanggotaan ASEAN pada 2011.
Proses keanggotaan itu memerlukan waktu yang cukup lama berikutan beberapa alasan termasuk kesediaan ekonomi, kapasiti institusi dan konsensus ahli (keputusan untuk menerima ahli baharu ke dalam ASEAN perlu dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota sedia ada).
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja November 2022, pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11.
Persetujuan itu juga memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste dan menggariskan pelan tindakan untuk keahlian penuh, termasuk sokongan kapasiti.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia merupakan antara negara terawal yang menyokong usaha kemerdekaan Timor-Leste sejak era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Malah, saya sendiri pernah menyatakannya di Parlimen bahawa Timor-Leste adalah sebahagian daripada keluarga rantau yang kita cintai ini,” jelas beliau.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, José Manuel Ramos-Horta usai acara menamatkan sidang kemuncak semalam.
Beliau menegaskan, pendirian Malaysia tersedia jelas untuk mendukung serta mempercepat penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, seiring semangat solidariti serantau.
Jelasnya, keanggotaan dalam ASEAN tidak wajar diukur hanya berdasarkan kekuatan ekonomi semata-mata.
“Namun, apa yang penting adalah tekad dan iltizam, wawasan serta semangat kenegaraan bangsa tersebut,” katanya.
Malaysia telah mengarahkan Wisma Putra mengupayakan kerjasama teknikal serta penempatan pegawai di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi melengkapkan keperluan institusi Timor-Leste untuk proses penyertaan.
Anwar menyifatkan Timor-Leste sebagai suara nurani yang menyala sebagai perjuangan menuntut kebebasan dan keadilan.
Beliau melihat semangat itu dizahirkan oleh Ramos-Horta, sama seperti yang pernah dibicarakan bersama mendiang Kofi Annan.
“Malaysia punyai keyakinan yang tinggi betapa kehadiran Timor-Leste ke dalam ASEAN tidak sekadar melengkapi jumlah anggota, tetapi yang utama adalah memperkaya jiwa, nurani dan nilai rantau bertuah ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















