KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki dadah jenis pil Yaba dalam satu operasi di Dungun Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan pada jam 11.15 malam hasil maklumat dan pemantauan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang barang salah, namun suspek dilihat membuang satu objek berhampiran lokasi tangkapan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu bungkusan plastik mengandungi pil disyaki dadah jenis Yaba dengan anggaran berat kasar 219.42 gram,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Maizura, dalam operasi tersebut pihaknya merampas satu balutan kertas putih, lapan paket plastik biru dan dua paket plastik merah jambu, semuanya berisi pil Yaba.
Tambah beliau, ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif, namun semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau kes narkotik.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya. – Malaysiagazette
















