Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyangkal dakwaan lantikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu hanya dibarisi individu yang disifatkan sebagai `Yes Man’.

Sebaliknya, kata beliau, barisan MPT merupakan rujukan kepada ahli-ahli parti, sekali gus mesti menjadi antara yang paling memahami tentang Perlembagaan, dasar dan keputusan-keputusan parti.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan situasi melibatkan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang mana Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas berkenaan bukan dipecat atau digantung daripada MPT Bersatu.

Sebaliknya, menurut beliau, Khaliq Mehtab digantikan dengan lantikan ahli MPT yang lain.

“Sebagai ahli MPT lantikan, perkara ini adalah biasa. Dalam parti lain pun berlaku perkara yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Khaliq Mehtab hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan  Bersatu selepas lantikan beliau sebagai ahli MPT parti itu ditamatkan.

Dalam satu kenyataan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam itu berkata, beliau berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ke MPT Bersatu dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan “Yes Man”.

Pada Januari lalu, Khaliq Mehtab merupakan salah seorang daripada lima pemimpin Bersatu yang dilantik ke jawatan MPT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast