KUALA LUMPUR – Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) & ADMM-Plus ke-12 menjadi bukti komitmen bersama terhadap perpaduan ASEAN untuk keselamatan dan kemakmuran serta memperdalam kerjasama dalam membina rantau yang aman, stabil dan berdaya tahan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persidangan ADMM & ADMM-Plus ini bukan sekadar platform utk perjumpaan semua Menteri Pertahanan ASEAN namun menjadi sebuah simbol perpaduan, keamanan dan tanggungjawab bersama ASEAN.
“Ia memperlihatkan kesediaan kami semua, Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN untuk memikul tanggungjawab keselamatan dan membentuk secara aktif kerangka keselamatan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir ADMM & ADMM-Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali.
Ia menggambarkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh kepercayaan, ketelusan dan kerjasama keselamatan di rantau Asia Tenggara selaras prinsip ASEAN yang menolak konfrontasi dan menekankan dialog serta persefahaman bersama.
Selain itu, semua 11 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste yang baharu diterima sebagai anggota penuh mengesahkan kehadiran pada mesyuarat yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut memberitahu, penerimaan Timor-Leste buat pertama kali menyertai ADMM & ADMM-Plus sebagai anggota ASEAN yang ke-11 menunjukkan ASEAN menekankan kepada kepentingan perpaduan, solidariti dan kerjasama inklusif dalam memelihara keamanan dan juga kestabilan serantau.
Pada masa sama, lapan negara rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Russia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand turut mengesahkan kehadiran.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa antara penekanan juga bagi ADMM dan ADMM-Plus pada kali ini, kita akan menerima atau mengadopsi 20 inisiatif baharu yang secara keseluruhannya merupakan jumlah tertinggi yang direkodkan dalam tempoh satu tahun.
“Inisiatif ini dapat diringkas kepada tiga bahagian yang penting di mana pertama, meningkatkan kerjasama melalui industri pertahanan dan perkongsian sejarah perang melalui institusi pendidikan.
“Kedua, memperkuat keberadaan operasi melalui koordinasi yang lebih baik, pencarian dan penyelamatan, respon pandemik dan yang terkini dalam soal untuk mewujudkan ASEAN Observer Team dalam kita memastikan genjatan sejatan di sempadan Thailand dan Kemboja dihormati,” katanya.

Mohamed Khaled turut memberitahu, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan mengenai kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, kenyataan itu merupakan yang pertama mengenai pertahanan AI oleh organisasi serantau itu.
Menurutnya, ASEAN sedar Al dengan kemajuan pesatnya itu yang juga mempengaruhi usaha membentuk lanskap pertahanan kerana ia menawarkan keupayaan-keupayaan baharu.
“Pada masa sama, wujud risiko-risiko yang baharu di mana kenyataan ini adalah isyarat tekad Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN untuk mendekati Al secara bertanggungjawab dengan mengimbangi inovasi dengan akauntabiliti.
“Kenyataan ini juga untuk makluman semua kerana pada tahun ini juga ia merupakan ulang tahun mesyuarat ADMM yang ke-15.
“Apabila kita menyambutnya, ia akan juga memberi peluang yang penting kepada anggota ADMM dan ADMM-Plus untuk melihat kembali perjalanan yang telah ditempuh dan merangka hala tujuh masa hadapan ke arah kerangka keselamatan serantau yang lebih bersepadu, berkesan dan juga berdaya tahan” katanya. – MalaysiaGazette
















