KUALA LUMPUR – Semua pergerakan ketibaan dan keberangkatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung dengan lancar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) dari 22 hingga 29 Oktober 2025.

Menurut kenyataan Malaysia Airports, sepanjang tempoh lapan hari itu, lebih 9,300 penerbangan dan 1.4 juta pergerakan penumpang termasuk 60 penerbangan khas dan carter dikendalikan dengan penjadualan tepat, kawalan keselamatan ketat, serta gangguan yang minimum di KLIA dan SZB.

“Kejayaan ini dicapai hasil perancangan rapi selama beberapa bulan oleh kira-kira 70 pegawai daripada 24 unit pelbagai agensi yang menyelaras aspek logistik, pengendalian darat dan kesiapsiagaan kecemasan, dengan sokongan ratusan anggota tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, latihan berskala penuh telah dilaksanakan di Kompleks Bunga Raya sejak September lalu bagi menguji Pelan Tindakan Kecemasan Bangunan (ERP).

Ia juga bagi memperkukuh koordinasi antara agensi yang melibatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kementerian Pengangkutan (MoT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta pengendali darat.

Katanya, pada minggu terakhir Oktober, Pasukan Pengurusan Krisis Lapangan Terbang (ACMT) diaktifkan bagi menyelaras operasi bersama Wisma Putra, MoT, CAAM, PDRM dan agensi utama lain bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan berprofil tinggi.

Selain itu, kehadiran komuniti peminat penerbangan dan pemerhati pesawat di KLIA dan SZB memeriahkan suasana sambil menonjolkan peranan lapangan terbang sebagai pintu utama diplomasi antarabangsa dan imej Malaysia sebagai tuan rumah acara global.

Kejayaan pengurusan operasi Sidang Kemuncak ASEAN ini membuktikan kupayaan dan kesiapsiagaan Malaysia sebagai tuan rumah acara antarabangsa serta komitmen berterusan terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan transformasi operasi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast