Gambar hiasan

PEKAN – Seorang pensyarah kerugian lebih RM40,000 selepas terpedaya tawaran hadiah kononnya daripada syarikat telekomunikasi CelcomDigi.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, wanita berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu mengaku sebagai kakitangan syarikat terbabit kelmarin.

“Mangsa ditawarkan hadiah mata ganjaran yang lumayan atau menebus telefon daripada CelcomDigi. Mangsa kemudian membuat pilihan untuk menebus mata ganjaran seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaidi,  mangsa kemudian diberikan satu pautan menerusi pesanan ringkas untuk dipenuhi dengan maklumat peribadi.

Katanya, mangsa mengisi semua maklumat akaun bank CIMB dan akaun kad kredit bank BSN miliknya.

“Mangsa menerima beberapa pesanan ringkas pemberitahuan daripada pihak bank BSN berkenaan penggunaan akaun kad kreditnya dan terdapat pindahan wang dari akaun bank CIMB kepada akaun bank individu lain,” katanya lagi.

Susulan kejadian, mangsa merasa telah terpedaya dan ke Balai Polis Pekan untuk membuat laporan. Beliau berkata, keseluruhan kerugian mangsa ialah RM41,034.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast