KUALA LUMPUR – Sejumlah 325 liter petrol berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 selepas menggagalkan cubaan menyeludup bahan api itu ke Thailand pada 27 Oktober lalu.
PGA dalam kenyataan berkata, serbuan yang dijalankan antara jam 1.45 petang hingga 9.25 malam itu melibatkan tiga lokasi berasingan di sekitar Tumpat, iaitu Kampung Simpangan, pengkalan haram Nasir dan pengkalan haram Pok Su Roni.
Menurut PGA, pemeriksaan di lokasi mendapati sejumlah tong berisi petrol bernilai kira-kira RM845 dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.
Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette
















