GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan serta-merta amalan menawarkan diskaun terhadap saman trafik, yang disifatkan sebagai satu tindakan memperlekeh undang-undang dan menjejaskan kredibiliti pihak berkuasa.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tawaran diskaun sehingga 70 peratus terhadap saman yang diumumkan baru-baru ini dari 1 November hingga 30 Disember 2025 hanya memberi mesej salah kepada masyarakat.
“Pemberian diskaun berulang kali menunjukkan pelanggaran undang-undang tidak membawa akibat berat, malah pesalah boleh menunggu pusingan diskaun seterusnya untuk melunaskan bayaran dengan jumlah kecil berbanding penalti asal.
“Pendekatan seperti ini bukan sahaja menghakis rasa hormat terhadap undang-undang tetapi juga menjejaskan keselamatan jalan raya.
“Peraturan lalu lintas diwujudkan untuk melindungi nyawa, mencegah kemalangan dan menggalakkan pemanduan berhemah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Mohideen, tawaran kelonggaran secara berkala kepada pesalah lalu lintas bercanggah dengan matlamat keselamatan dan mengurangkan keberkesanan penguatkuasaan.
Tegas beliau, kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dengan memastikan hukuman dikenakan secara adil dan konsisten, bukannya menawarkan diskaun yang meremehkan kesalahan.
“Pemandu yang patuh undang-undang dan membayar saman tepat pada masanya dilayan tidak adil apabila pesalah berulang diberi ganjaran diskaun.
“Ketidakselarasan ini melemahkan pematuhan dan memupuk budaya tidak bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Fokus perlu diberi kepada penguatkuasaan lebih berkesan, pendidikan keselamatan jalan raya dan kutipan denda segera. Justeru kerajaan mesti hentikan amalan tidak produktif ini dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem perundangan dan penguatkuasaan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohideen turut menggesa PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menumpukan usaha ke arah memperkukuh penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pesalah tanpa sebarang kompromi. – MalaysiaGazette















