Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan.

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki tidak bersetuju dengan gaya kepimpinan yang menunjukkan arogansi, membentak wartawan atau cuba menekan media.

Beliau yang juga pengarah filem berkata, ia bukan soal peribadi tetapi berdasarkan prinsip kerana rakyat menolak kerajaan lama dahulu bukan hanya kerana polisi mereka.

Tetapi jelas beliau kerana perangai segelintir pemimpin lampau yang merasa kebal, menghina soalan wartawan dan menggunakan kuasa politik untuk menekan suara orang lain.

“Kalau hari ini, ada pemimpin dalam kerajaan perpaduan yang mula menunjukkan perangai yang sama marah bila disoal, merendahkan wartawan, mengugut akan ‘telefon bos awak’ maka kita sedang mengulangi kesilapan yang sama yang kita sendiri pernah kutuk.

“Dan kalau itu berlaku, rakyat akan mula hilang keyakinan terhadap kerajaan ini. Ini bahaya, bukan hanya untuk individu tertentu tetapi untuk keseluruhan perjuangan kita,” tulis di Facebook hari ini.

Afdlin menambah, wartawan ialah sebahagian daripada rakyat dan mereka bertanya bagi pihak orang ramai.

Katanya, melayan wartawan dengan cara yang kasar, mengugut mahu mengadu kepada editor atau seolah-olah mahu ‘mengajar’ wakil media adalah bertentangan dengan semangat itu.

“Kita kena faham satu perkara mudah, bila seorang menteri bercakap, dia bukan bercakap atas nama individu – dia membawa imej seluruh kerajaan.

“Setiap nada sombong akan dianggap sebagai nada kerajaan. Setiap ugutan akan dianggap ugutan kerajaan. Ini bukan benda kecil,” katanya.

Afdlin turut menyeru supaya mana-mana menteri atau pemimpin yang bertindak begitu tampil memohon maaf secara terbuka kepada wartawan yang terlibat dan kepada rakan-rakan media.

Ujarnya, permohonan maaf bukan kelemahan tetapi ia tanda kematangan politik dan rasa hormat kepada rakyat.

“Lebih penting lagi, saya mahu komitmen jelas bahawa budaya ‘telefon editor untuk tekan wartawan’ tidak akan menjadi norma baharu dalam kerajaan ini.

“Kita tidak boleh normalisasikan budaya buli wartawan. Kalau kerajaan lama buat begitu, kita marah. Kalau kita sendiri mula buat begitu, kita sudah hilang hak moral untuk bercakap tentang reformasi.

“Ini bukan isu kaum, bukan isu parti. Ini isu akhlak kuasa. Tidak kira Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak – sesiapa pun yang jadi menteri mesti tunjuk budi bahasa, merendah diri bila ditanya, dan bersedia menjawab dengan hujah bukan dengan ugutan,” katanya.

Afdlin berkata, dia menegur kerana saya sayang dengan perjuangan agar kerajaan menjadi benar-benar berbeza dan bukan sekadar tukar nama serta tukar logo.

“Rakyat sedang memerhati. Kalau kita gagal kawal sikap, kita akan hilang kepercayaan rakyat lebih cepat daripada yang kita sangka.

“Kuasa ialah amanah rakyat. Kuasa bukan lesen untuk memalukan wartawan di depan kamera. Jika kita mahu dihormati, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan hormat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast