BAU – Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas sebelum terjunam keadaan dalam parit konkrit di Kilometer 14, Jalan Bau/Batu Kawa, Sarawak awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah menerima maklumat pada pukul 7.36 pagi mengenai kemalangan kendiri tersebut.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa memandu seorang diri dalam perjalanan dari arah Bau menuju ke arah Batu Kawa.
“Semasa sedang bergerak, motokar tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu sebelah kiri jalan dan terjatuh serta terbalik di dalam parit konkrit Jalan Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Haide, mangsa telah tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh bomba dan pasukan penyelamat namun telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak paramedik Hospital Bau.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menggesa mana-mana saksi untuk tampil bagi membantu siasatan dengan hadirkan diri ke balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai tidak membuat spekulasi yang berkaitan dengan kejadian ini. – MalaysiaGazette















