KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida menjelaskan dia tidak menyesal mempertahankan prinsipnya walaupun pelbagai barangan peribadi termasuk kereta mewahnya dilelong kelmarin.
Vida atau nama Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, 54, menegaskan, dia kekal dengan pendiriannya walaupun terpaksa menanggung akibat sehingga ke hari ini.
“Saya memang tak nak bayar. Walaupun mampu tapi hati saya sakit. Bayar bank RM100,000 sebulan tunggu projek siap tapi tiga tahun tak siap-siap.
“Kalau saya bayar, reputasi saya hilang nilai.
“Tapi kalau saya lawan, orang tetap mengata. Saya tetap kuat sebab saya percaya kita kena pandang ke depan,” luah ibu tunggal itu secara langsung di TikTok.
Sebelum ini, Vida dilaporkan mendakwa kegagalannya menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat sebanyak RM1,060,285 pada 2018 adalah berhubung dengan kerja ubah suai bangunan kilang miliknya.
Ia susulan jutawan kosmetik itu dikatakan tidak berpuas hati dengan hasil serta mutu kerja yang dijalankan pihak kontraktor terbabit terhadap kerja ubah suai bangunan kilang berkenaan.
Kelmarin, tiga kenderaan mewah dan 727 barangan peribadi milik Vida berjaya dibida seorang lelaki pada harga keseluruhan RM1 juta.
Proses lelongan yang berlangsung di kediaman Vida di Meru Heights itu bermula sekitar pukul 10.30 pagi melibatkan dua pembida.
Antara kenderaan mewah yang dilelong ialah Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7, selain pelbagai barangan peribadi seperti piano, gitar elektrik, set sofa, set meja makan, pasu bunga, televisyen, penghawa dingin, katil urut, karpet, teleskop, meja solek, langsir, set karaoke dan jam berdiri. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















