KUALA LUMPUR – Pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor, Wan Haiyl Majid tampil sebagai antara wajah baharu yang mencuri perhatian dalam pementasan Teater Muzikal Sulalatus Salatin 2.0.
Teater yang sedang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur bermula 31 Oktober hingga 2 November 2025 membariskan lebih 100 pelakon daripada pelbagai generasi.
Terbitan CTRA Production bersama Persatuan Bangsawan Bintang Timur ini turut menampilkan nama-nama besar seperti Nabila Huda, Adam Lee, Raja Azrey, Safura Yaacob, Alina Hassan, Mubarak Majid, Zaidi Omar dan Juhara Ayub, di samping bakat muda seperti Ziera Harris, Siera Kamal dan pelajar dari Sekolah Seni Malaysia.
Wan Haiyl Majid atau Jade mengakui peluang beraksi di pentas berprestij itu menjadi pengalaman berharga untuk menimba ilmu secara langsung daripada pelakon berpengalaman.
“Saya bertuah dapat berlakon bersama pelakon terkenal.
“Mereka banyak memberi tunjuk ajar dan semangat kepada kami yang masih baharu dalam dunia teater,” katanya ketika ditemui selepas sesi pementasan.

Walaupun baru berusia 14 tahun, Jade diberi tanggungjwab memegang dua watak iaitu Seri Akar Diraja dan Paladutani.
“Alhamdulillah saya boleh bawa watak-watak ini kerana sudah ada asas lakonan sejak berusia 12 tahun. Saya pernah masuk pertandingan teater ketika di sekolah rendah dan dari situlah timbul minat mendalam dalam bidang ini dan saya terus belajar,” katanya yang ditemui selepas pementasan.
Tekadnya hanya satu, untuk terus belajar dan berharap akan dapat menggapai impian sebagai pengarah dan juga aktivis teater.
“Saya mahu generasi muda melihat teater Melayu sebagai sesuatu yang hebat dan membanggakan.
“Saya mahu jadi pelakon yang mana setiap watak saya itu boleh memberi impak kepada penonton,” kata anak sulung dari dua beradik itu.
Penglbatan Jade dalam dunia teater mendapat dorongan daripada keluarga terutama ibunya yang menjadi sahabat rapat buat Jade.
Penyertaan Jade menerusi produksi berkenaan menjadi permulaan kepada cita-citanya untuk terus memperjuangkan seni teater Purbawara dan Bangsawan Melayu.
Sebelum ini Jade pernah muncul sebagai Tun Aman menerusi Teater Dendam Laksamana, Sultan Mansur Shah dalam Tun Fatimah – Serikandi Jiwa Luka.

Produksi berskala besar terbitan CTRA Production bersama Persatuan Bangsawan Bintang Timur ini menghimpunkan lebih 100 pelakon daripada pelbagai generasi — termasuk nama-nama besar seperti Nabila Huda, Adam Lee, Raja Azrey, Safura Yaacob, Alina Hassan, Mubarak Majid, Zaidi Omar dan Juhara Ayub, di samping bakat muda seperti Ziera Harris, Siera Kamal, Wan Haiyl Majid dan pelajar dari Sekolah Seni Malaysia.
Menurut pengarahnya, Zaifri Hussin, penglibatan pelajar sekolah dan universiti dalam pementasan ini membuktikan minat generasi muda terhadap seni pentas purbawara dan Bangsawan masih kukuh.
“Lebih 30 pelajar berusia antara enam hingga 20 tahun terlibat dalam produksi ini. Mereka berlatih setiap minggu dengan penuh disiplin, semangat mereka sangat mengagumkan,” ujarnya.
Jelas Zaifri lagi, cabaran mementaskan teater ini bukan hanya pada jadual para pelakon tetapi kekangan waktu yang sangat terhad.
“Kami hanya dapat masuk ke dewan tiga hari sebelum pementasan. Tapi kami dah cuba yang terbaik walaupun ada kesilapan teknikal sedikit dan akan pastikan pementasan berikutnya akan diatasi sebaik-baiknya,” katanya.
Katanya, itulah teater yang bermain dengan realiti yang mana semuanya berlaku tanpa diduga dan tidak boleh dihentikan atau dipotong kerana pementasan secara langsung.
Pementasan Sulalatus Salatin 2.0 turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Geran Seni Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK 2025).
Ia menampilkan sembilan lagu ciptaan Asry Hassan dan mengangkat kisah sejarah Melayu agung berdasarkan karya Sejarah Melayu. – MalaysiaGazette
















