KUALA LUMPUR – Tidak semua bentuk keterlibatan antarabangsa dalam konteks ekonomi moden seperti perjanjian timbal balas Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) boleh dianggap sebagai `penyerahan’.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, sebahagiannya boleh disifatkan sebagai managed interdependence atau kebergantungan yang diurus dengan baik.
Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, menerusi konsep itu, Malaysia turut memperoleh faedah ekonomi, pelaburan dan teknologi memandangkan dunia hari ini bukan lagi berasaskan penentangan mutlak, tetapi kebijaksanaan berunding dalam sistem global yang saling bergantung.
“Saya melihat nilai sebenar bukan pada menolak perjanjian antarabangsa, tetapi pada kemampuan negara mengurus risiko dan kepentingan sendiri dengan bijak.
“Jika perjanjian yang dimeterai mempunyai exit clause, pelan kontingensi dan perlindungan data nasional yang jelas, maka ia bukan bentuk penyerahan, sebaliknya hasil rundingan strategik yang berpaksikan kepentingan rakyat.
“Inilah bentuk hikmah ekonomi yang dituntut dalam maqasid syariah, khususnya dalam menjaga harta dan akal,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Razli yang juga Ketua Strategi & Risiko, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengulas mengenai pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan perjanjian timbal balik antara Malaysia dan AS yang dicapai ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu lalu.
Menyentuh mengenai pandangan Dr. Mahathir berkenaan kecenderungan sesetengah pemimpin yang dilihat terlalu ingin `menyenangkan kuasa asing’, beliau berkata, pandangan itu wajar dijadikan peringatan supaya negara tidak terjebak dalam diplomasi yang merugikan bangsa.
Namun, pada masa sama, jelasnya, diplomasi seimbang yang mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak adalah asas kepada kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau, malah selaras dengan maqasid menjaga keselamatan serta maruah negara.
Dari sudut Islam, tambab beliau, maqasid syariah tidak menolak kerjasama antarabangsa, bahkan Islam menggalakkan umatnya membina hubungan baik dan bertukar manfaat, asalkan ia tidak menjejaskan prinsip dan keadilan.
“Penyertaan Malaysia dalam perdagangan global boleh menjadi platform untuk memperkenalkan nilai-nilai ekonomi Islam, seperti keadilan, amanah, dan larangan eksploitasi.
“Inilah pendekatan dakwah ekonomi yang lebih bijak dan realistik,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Razli, kebimbangan Dr. Mahathir mengenai eksploitasi sumber bumi dan dominasi teknologi asing perlu diambil serius.
Dalam hal ini, jelasnya, kerajaan mesti memastikan setiap pelaburan asing disertai dengan pemindahan teknologi, pembangunan tenaga kerja tempatan, dan kawalan ke atas sumber strategik.
“Ini bukan sahaja soal ekonomi, tetapi soal maslahah ummah, memastikan kekayaan negara tidak bocor ke tangan luar,” katanya.
Tambah beliau, pandangan Dr. Mahathir yang menuntut kedaulatan dan dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keterlibatan global menerusi perjanjian Malaysia-AS itu sebenarnya saling melengkapi.
“Satu menegaskan prinsip, satu lagi menyesuaikan strategi.
“Dalam kerangka maqasid syariah, keduanya boleh disatukan: membangun negara yang bebas, bermaruah, tetapi tetap terbuka dan berdaya saing di pentas dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















