DOKUMEN berserta tanda tanga 16 MP Bersatu berhubung kemelut dalaman parti itu yang tular di media sosial. - SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Tanda tangan 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersabit kemelut parti itu seperti yang tular di media sosial dikutip sebelum penjelasan diberikan kepada mereka berhubung situasi sebenar yang berlaku.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau percaya sebahagian daripada Ahli Parlimen berkenaan kini sudah memahami dan jelas dengan perkara sebenar di dalam parti itu.

Dalam masa sama, tegas beliau, hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin Bersatu ke atas beberapa pemimpin parti itu termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disebabkan kerana melanggar Perlembagaan dan peraturan parti.

Jelasnya, Lembaga Disiplin Bersatu sudah semestinya membuat keputusan berdasarkan aduan, bukti-bukti yang dikemukakan dan kenyataan-kenyataan saksi.

“Sekiranya Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal tidak berpuas hati dengan hukuman itu, berdasarkan Perlembagaan parti, mereka boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan, bukan membuat `road show’ atau kenyataan-kenyataan yang mencemarkan imej parti dan institusi Presiden.

“Itu bukan cara orang yang ingin memperbetulkan keadaan selepas membuat kesilapan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tun Faisal Ismail Aziz.

Terdahulu, tular di media sosial dokumen yang ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditandatangani 16 Ahli Parlimen parti itu yang melahirkan kebimbangan terhadap pergolakan dalaman parti.

Kandungan dokumen itu antara lain menyebut pendirian mereka yang beranggapan tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal sebagai tidak bijak serta mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Antara yang menandatangani dokumen itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Bagaimanapun setakat ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk 16 Ahli Parlimen Bersatu yang disebut dalam dokumen itu tampil mengulas atau menafikan berkenaan dokumen yang tular terbabit.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, beliau percaya ahli-ahli Parlimen Bersatu sebagai pembuat undang-undang memahami mengenai kedudukan Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan parti serta proses-proses parti.

Dalam masa sama, beliau juga percaya ahli-ahli Parlimen berkenaan memahami Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan Bersatu adalah badan bebas.

Sehubungan itu, jelasnya, tidak sepatutnya ada pengecualian, diskriminasi atau pilih bulu bagi kedua-dua lembaga parti tersebut dalam melaksanakan peruntukan Perlembagaan Bersatu dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.

“(Maka) Tidak wajar ada standard berbeza untuk Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal berbanding ahli-ahli parti yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast