Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) akan mengadakan satu sidang media khas esok bagi mendedahkan penderitaan sebenar yang dialami oleh mangsa-mangsa sindiket pinjaman haram atau ahlong yang didakwa semakin berani dan berleluasa di negara ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata sidang media itu akan menampilkan kira-kira 15 mangsa yang bakal berkongsi pengalaman masing-masing selepas menjadi mangsa penindasan, ugutan dan keganasan oleh sindiket berkenaan.

Lebih membimbangkan, katanya, ada dalam kalangan mereka yang mendakwa laporan polis yang dibuat sebelum ini hanya diklasifikasikan sebagai ‘covering report’ tanpa sebarang tindakan lanjut malah ada menerima status No Further Action (NFA) walaupun terdapat bukti jelas berlakunya kesalahan jenayah.

“Kami di MHO menerima banyak aduan daripada mangsa-mangsa yang kecewa kerana keadilan masih belum berpihak kepada mereka.

“Undang-undang negara jelas memperuntukkan tindakan terhadap pemberi pinjam wang tanpa lesen, namun pelaku seperti terus bebas beroperasi. Ini amat membimbangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Hishamuddin, isu yang akan diketengahkan esok bukan sekadar melibatkan pinjaman tanpa lesen sah, tetapi juga pelbagai elemen jenayah lain seperti penggunaan akaun pihak ketiga bagi tujuan penipuan kewangan, ugutan fizikal dan psikologi, serta perbuatan khianat terhadap harta benda mangsa.

Katanya, kesemua perbuatan itu boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), namun siasatan menyeluruh jarang dijalankan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast