Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh terhadap majikan yang gagal membayar gaji 93 pekerja migran selepas tiba di Malaysia.

Menurut beliau, keputusan itu bukan sekadar kemenangan kepada pekerja asing yang dinafikan hak, tetapi juga pengesahan terhadap prinsip asas yang diperjuangkan kementeriannya.

“Saya amat mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menegaskan tanggungjawab majikan membayar tunggakan gaji kepada 93 pekerja migran yang diabaikan.

”Ini membuktikan bahawa prinsip yang kita tegaskan sejak awal bahawa setiap pekerja yang dibawa masuk mesti dibayar gaji kini turut diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sim berkata, keputusan itu juga membatalkan tanggapan sesetengah pihak bahawa pekerja asing boleh dibawa masuk sebagai ‘stok pekerja sedia ada’ yang hanya akan dipanggil apabila diperlukan.

“Mahkamah Buruh sebelum ini sudah menjelaskan kerajaan tidak pernah meluluskan konsep pekerja asing dijadikan stok simpanan. Ini satu tanggapan salah yang bercanggah dengan undang-undang buruh dan prinsip kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua 93 pekerja terlibat kini telah berjaya ditempatkan semula dengan majikan baharu menerusi inisiatif Pertukaran Majikan Khas yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Kesuma.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi itu harus menjadi pengajaran kepada majikan agar tidak culas atau bersikap sambil lewa terhadap kebajikan pekerja mereka.

“Kegagalan membayar gaji adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang buruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast