14 individu termasuk lima wanita warga Thailand dalam operasi bersepadu Op Noda yang dijalankan di beberapa premis hiburan sekitar ibu negara awal pagi ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 14 individu termasuk lima wanita warga Thailand dalam operasi bersepadu Op Noda yang dijalankan di beberapa premis hiburan sekitar ibu negara awal pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata operasi bermula jam 2.30 pagi hingga 5.00 pagi itu melibatkan enam serbuan serentak di bawah pemantauan kontinjen Kuala Lumpur.

“Seramai 129 individu berusia antara 23 hingga 50 tahun diperiksa, manakala 14 individu berumur 22 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata, tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan termasuk penjaga kaunter, seorang lelaki warga Bangladesh, lima wanita warga Thailand dipercayai GRO, serta dua wanita warga Indonesia yang bekerja tanpa permit sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan, beroperasi melebihi masa yang dibenarkan, tiada lesen minuman keras dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah,” ujarnya.

Antara barangan dirampas ialah lima keping resit perniagaan, dua unit sistem DJ, empat pembesar suara, empat mikrofon, dua unit amplifier, lima botol minuman keras pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM799.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992, Seksyen 55B, 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast