KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sabah, Tan Sri Annuar Musa mendakwa terdapat usaha menakut-nakutkan penduduk Sabah dengan percubaan memainkan sentimen parti tempatan menentang parti Semenanjung.
Bagaimanapun, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkenaan, penduduk Sabah hakikatnya mengetahui sentimen itu dimainkan oleh pihak yang mempunyai rekod gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat ketika mandat diberikan kepada mereka.
Malah, menurut beliau, pihak berkenaan juga mempunyai rekod menjadi sebahagian daripada sekutu parti di Semenanjung.
“Rakyat Malaysia sudah lama meminggirkan kedaerahan sempit. Mereka mahu wakil rakyat yang baik, kerajaan yang baik.
“Mereka benci mereka yang berjanji tapi tidak tepati.
“Mereka benci rasuah dan salah guna kuasa. Mereka benci watak watak yang punyai rekod yang buruk,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Sementara itu, Annuar berkata, PN bagaimanapun diterima dengan baik sejak gabungan parti tersebut mula diperkenalkan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu.
“PN mengekalkan prinsip berkhidmat dengan baik, berintegriti dan berwibawa,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, PN berkemungkinan bertanding sehingga 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN-17 iaitu lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak 36 kerusi sebelum ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi gabungan itu mungkin bertambah selepas mengambil kira potensi beberapa kawasan tambahan. – MalaysiaGazette
















