Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini boleh ditamatkan sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin berjiwa besar dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekiranya perkara itu boleh dilakukan, kontroversi seperti kewujudan akaun bersumpah (SD); tindakan Lembaga Disiplin dan siri meletak jawatan oleh pemimpin tertentu tidak akan berlaku.

Tambah Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan, sudah tiba masanya Muhyiddin juga menyedari beliau kini merupakan beban atau liabiliti kepada Bersatu dan `tarikh luputnya’ sebagai Presiden sudah tiba.

Beliau mendakwa, pertuduhan ke atas Muhyiddin di mahkamah serta kontoversi membabitkan menantunya yang melarikan diri ke luar negara kini menjadi modal kepada pihak lawan, sekali gus tidak memberi kelebihan kepada Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN) menjelang Pillihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Sehubungan itu, tambah beliau, Muhyiddin wajar mengambil tanggungjawab dengan menyerahkan kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini diangkat beliau sendiri sebagai penggantinya.

“Kita tidak menafikan segala jasa Muhyiddin kepada parti selama ini, tapi apabila kita bercakap berkenaan untuk memenangi pilihan raya, kita kena pastikan Bersatu mempunyai visi dan kepimpinan serta wajah baharu.

“Kalau sekiranya sudah jadi liabiliti tapi kita masih mahu julang beliau ke depan, yang kalahnya nanti adalah kita sendiri.

“Paling membimbangkan, sekiranya kita (Perikata Nasional) menang pada pilihan raya, dan Muhyiddin diangkat (sebagai Perdana Menteri) dalam keadaan kita tahu pelbagai masalah sedang berlaku melibatkan beliau dari kes mahkamah sehinggalah kepada kes menantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program siri jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, Muhyiddin harus menyedari mereka yang mempertahankan beliau kini hanyalah barisan MPT yang dilantik, bukannya yang memenangi jawatan itu menerusi pertandingan atau mendapat sokongan daripada akar umbi.

Malah, beliau turut menyifatkan kumpulan yang mempertahankan Muhyiddin itu juga adalah `orang luar’ yang cuba membawa masuk budaya yang menyimpang daripada semangat perjuangan sebenar Bersatu seperti pada awal penubuhan parti tersebut kira-kira 10 tahun lalu.

Sementara itu, Wan Saiful menegaskan, beliau serta ahli-ahli Bersatu lain yang dikenakan tindakan sebelum ini tidak akan sesekali meninggalkan parti dan berazam untuk merampas semula parti tersebut daripada `orang luar’ yang disifatkan cuba `mencuri’ parti tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast