KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed memandang serius kandungan perjanjian perdagangan timbal balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) khususnya melibatkan Artikel 5.1 dan Artikel 6.2.
Menurut beliau, kedua-dua peruntukan itu bukan sekadar isu teknikal, tetapi menyentuh terus soal kedaulatan negara dan kelangsungan dasar ekonomi bumiputera iaitu dua asas utama pembinaan negara bangsa.
Apa yang membimbangkan, katanya, perbandingan dengan perjanjian serupa antara AS dan Kemboja menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan dalam mempertahankan maruah serta kebebasan menentukan dasar sendiri.
Jelasnya, berbeza dengan perjanjian Kemboja-AS, frasa “sovereign interests” langsung digugurkan dalam perjanjian AS-Malaysia dan digantikan dengan ayat berbentuk umum tentang “goodwill” dan “shared commitment”.
“Tanpa sebutan mengenai kedaulatan, Malaysia kini terikat untuk mengambil langkah setara dengan AS walaupun mungkin bercanggah dengan kepentingan nasional sendiri.
“Ia satu kegagalan diplomasi yang memalukan seolah-olah Kerajaan Madani lebih rela tunduk kepada tekanan kuasa besar berbanding mempertahankan prinsip kemerdekaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih mengejutkan, tambah beliau, Artikel 6.2 perjanjian itu secara langsung menjejaskan dasar ekonomi Bumiputera dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai alat pelaksanaan dasar negara.
Dakwannya, klausa itu mewajibkan Malaysia memastikan GLC bertindak atas dasar komersial semata-mata dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS.
“Ini bermakna, dasar mengutamakan vendor tempatan atau Bumiputera boleh dianggap sebagai pelanggaran perjanjian.
“Tambahan pula, kerajaan dilarang memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC kecuali untuk tujuan perkhidmatan awam,” katanya.
Ujarnya, peruntukan itu bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan Dasar Ekonomi Bumiputera.
Tambah beliau, GLC dan GLIC bukan sekadar entiti perniagaan tetapi instrumen dasar negara bagi memperkasa ekonomi tempatan, membina daya saing industri strategik dan melindungi kepentingan nasional.
“Sekiranya autonomi mereka dihadkan oleh tekanan perjanjian antarabangsa, maka kerajaan sebenarnya sedang menyerahkan kuasa ekonomi negara kepada pengaruh asing,” katanya.
Tambah Ahmad Amzad, beliau berpandangan perjanjian tersebut ditandatangani secara tergesa-gesa tanpa rundingan mendalam dengan pihak berkepentingan termasuk pakar undang-undang, industri dan kumpulan ekonomi bumiputera.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian tersebut sehingga satu penilaian menyeluruh terhadap kesannya dibuat.
Selain itu, ujarnya, setiap perjanjian antarabangsa selepas ini juga perlu dipastikan mesti mengandungi klausul perlindungan terhadap kedaulatan dan kepentingan Bumiputera secara jelas. – MalaysiaGazette
















