KENYATAAN bersama persatuan e-haling dan p-hailing berkenaan inisiatif BUDI95.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam pertubuhan berkaitan perkhidmatan e-hailing menggesa kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertindak tegas terhadap syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang masih gagal atau lewat membekalkan maklumat serta data pemandu kepada pihak kerajaan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, katanya, terdapat sebahagian EHO yang lambat menyerahkan data, malah ada yang gagal berbuat demikian sehingga kini menyebabkan ada pemandu yang tidak mendapat manfaat inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menurutnya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kebajikan dan hak pemandu e-hailing di seluruh negara.

“APAD perlu memastikan semua EHO memberikan kerjasama penuh bagi menjamin kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan yang prihatin terhadap golongan pemandu e-hailing,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia; Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia dan Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah.

Turut sama ialah Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan kerajaan kini dalam proses mengkaji semula mekanisme pelaksanaan BUDI95 bagi sektor e-hailing dengan mekanisme baharu tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai kenyataan Hui Ying itu, kenyataan tersebut menambah, penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme baharu berkenaan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.

Penjelasan yang terlalu umum boleh menyebabkan salah faham serta pelaksanaan yang tidak seragam di peringkat lapangan.

“Kami menyarankan agar kekeliruan sebelum ini tidak berulang dan memberi angka lebih jelas mengenai tambahan kuota,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan digesa mempertimbangkan penambahan kuota BUDI95 bagi sektor e-hailing kepada sekurang-kurangnya 1,200 liter serta memansuhkan syarat jarak minimum 3,000 kilometer bagi melayakkan pemandu menerima kuota tambahan tersebut.

Kelayakan itu disifatkan masih lagi rendah berbanding kuota yang diberikan kepada pemandu teksi.

Jelasnya, berdasarkan maklum balas daripada pemandu e-hailing sepenuh masa di negeri dan bandar-bandar kecil seperti di Kedah, kriteria berkenaan sukar dan hampir mustahil untuk dipenuhi, memandangkan faktor lokasi dan jumlah permintaan perjalanan yang berbeza-beza di setiap kawasan.

“Selain itu, terdapat juga faktor pemandu e-hailing yang bergantung hidup melalui sektor ini sambil menjaga ahli keluarga yang tidak sihat hingga membataskannya untuk mencapai jarak minimum 3,000, sekali gus menafikan kebajikan kepada kumpulan seumpama ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan juga digesa memberikan maklum balas terkini mengenai pelaksanaan BUDI95 bagi sektor p-hailing.

Sehingga kini, ahli-ahli penghantar p-hailing masih belum menerima kuota tambahan BUDI95, walaupun Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan peluasan kuota tambahan tersebut turut merangkumi sektor tersebut.

“Kami berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap perkara-perkara ini bagi memastikan kebajikan pemandu dan penghantar e-hailing serta p-hailing sentiasa terbela, selaras dengan semangat keprihatinan dan inklusif kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast