KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menggunakan semua peruntukan undang-undang yang ada bagi membanteras kegiatan pinjaman tidak berlesen yang semakin berani beroperasi secara digital.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya kini memperhebat kempen ‘Berhenti Bayar Wang Kepada Ah Long’ sebagai langkah menyedarkan masyarakat yang mangsa pinjaman tanpa lesen bukan peminjam culas sebaliknya mangsa penipuan.
“Ramai yang terperangkap akibat manipulasi. Contohnya, pinjam RM5,000 tetapi hanya terima RM3,500. Apabila gagal bayar, mereka dipaksa ambil pinjaman baharu bagi menampung hutang lama. Akhirnya, mereka terus hanyut dalam hutang bertindih,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat MHO di sini hari ini.
Hishamuddin menegaskan, orang ramai tidak sepatutnya membuat sebarang bayaran kepada pemberi pinjaman tidak berlesen kerana tindakan itu melanggar undang-undang dan hanya menguatkan kedudukan sindiket.
“Kita mahu rakyat berhenti bayar. Lawan mereka dengan undang-undang, bukan dengan ketakutan,” tegasnya.
Hishamuddin juga mendedahkan, banyak kes dilaporkan kepada MHO namun masih diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) atau ditutup begitu sahaja.
“Buka semula kertas siasatan. Jangan NFA, kesalahan sudah berlaku apabila pemberi pinjam wang tanpa lesen memberi pinjaman,” tegasnya.
Dalam pada itu cadang beliau, pihak berkuasa boleh menggunakan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menahan mereka yang menerima atau memindahkan wang hasil aktiviti pinjaman haram.
“Jika AMLA digunakan, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan kerana setiap transaksi boleh dikesan,” ujarnya.
Selain itu, Seksyen 29D Akta Pemberi Pinjam Wang membolehkan tindakan diambil terhadap Ah Long yang mengganggu mangsa di rumah atau tempat kerja dengan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda RM250,000.
“Jika mereka sebar maklumat peribadi, boleh didakwa bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM500,000,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kegiatan ahlong dikategorikan di bawah Seksyen 130B Kanun Keseksaan berkaitan Sindiket Jenayah Terancang kerana operasi mereka jelas terancang, melibatkan rangkaian dan tidak lagi bersifat individu.
“Sudah sampai masa golongan ini disiasat sebagai sindiket jenayah terancang bukan sekadar jenayah komersial. Mereka ada struktur, akaun palsu, pengutip hutang dan pengurus operasi,” dedahnya.
Setakat ini, MHO telah menerima lebih 100 aduan rasmi berkaitan pinjaman tidak berlesen, dengan 15 kes utama melibatkan kerugian melebihi RM10 juta.
Dalam masa sama, Hishamuddin turut mengingatkan anak muda agar tidak terjebak dalam kempen menyewakan akaun bank kepada pihak tidak dikenali yang kini tular di media sosial.
“Itu ‘pintu masuk’ kepada aktiviti AMLA. Akaun mereka digunakan untuk transaksi haram dan akhirnya mereka sendiri boleh disabitkan kesalahan,” ujarnya.
MHO turut merancang untuk menyerahkan laporan lengkap kepada PDRM dan KPKT termasuk bukti digital, akaun bank dan nombor telefon yang digunakan oleh sindiket.
“Kita mahu tindakan segera. Hentikan pembayaran, lindungi mangsa dan tamatkan keangkuhan sindiket ah long digital ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















