KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anak lelakinya dua tahun lalu.
Menurut notis yang difailkan hari ini melalui firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co., Ismanira merayu terhadap keseluruhan keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu.
Jumaat lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira di Penjara Kajang selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengabaikan anaknya itu.
Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000, dijamin seorang penjamin warganegara Malaysia, serta perintah khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – MalaysiaGazette
Ibu Zayn Rayyan dihukum penjara lima tahun, pembelaan mohon penangguhan hukuman















