KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai potensi kapasiti penyimpanan sebanyak 13.3 gigatan – antara terbesar di rantau ini dalam pembangunan industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) – sebagai sumber pendapatan baharu negara.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, tapak penyimpanan sedia ada di Malaysia boleh dimanfaatkan untuk menampung karbon dioksida (CO2) dari sumber pemerangkapan luar negara.
“Pengimportan CO2 dari negara lain boleh mengimbangi kos pembangunan infrastruktur hab CCUS yang tinggi. Pemeteraian perjanjian dua hala dengan negara luar seperti Jepun, Republik Korea dan Singapura berupaya memangkin kemasukan pelaburan hijau untuk membantu menyerap kos pembangunan infrastruktur hab CCUS di Malaysia.
“Ini akan menonjolkan Malaysia sebagai hab CCUS di rantau Asia Pasifik serta menyumbang kepada wujudnya sektor perniagaan baharu seperti penawaran perkhidmatan pemerangkapan dan penyimpanan CO2 secara kekal,” katanya ketika sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas meminta Menteri Ekonomi menyatakan langkah konkrit dan keseriusan kerajaan dalam membangunkan industri CCUS sebagai sumber pendapatan baharu negara.
Hanifah Hajar berkata, pelaksanaan aktiviti CCUS membolehkan Malaysia mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih pada 2050.
“Ia juga berupaya untuk mengimbangi kepentingan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan serta menjamin peralihan yang adil untuk semua rakyat Malaysia.
“Kerajaan komited untuk membangunkan industri CCUS di Malaysia sebagai strategi baharu pertumbuhan ekonomi bagi menyokong pembangunan hijau dan rendah karbon.
“Tumpuan utama sektor hard to abate domestik seperti industri minyak dan gas, tenaga, simen serta besi dan keluli,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















