JOHOR BAHRU – Pasukan Pemantau Mesra atau Muslim Friendly Watch (MFW) hari ini memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul melibatkan sistem Muslim Choice.
Presiden MFW, Noorman Kamsani berkata, Muslim Choice bukan badan pensijilan halal atau label pengiktirafan, sebaliknya hanyalah platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW.
“Logo dan nama sistem tersebut hanyalah identiti dalaman dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk. Kami kesal atas kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf atas sebarang kegusaran yang timbul,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.
Jelas Sirajuddin, istilah diperkenalkan MFW itu antara lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Katanya lagi, tujuan MFW membuat penarafan itu didakwa untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim mengenai produk atau premis yang diiktiraf pertubuhan berkenaan sebagai berkualiti, bersih, selamat serta selari prinsip Islam.
Justeru, beliau menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada Jakim atau Majlis Agama Islam negeri (MAIN), mahupun Jabatan Agama Islam negeri (JAIN).
Mengulas lanjut, Noorman berkata, MFW turut mengambil maklum dan akur sepenuhnya dengan kenyataan rasmi Jakim yang menegaskan bahawa sistem Muslim Choice tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa berkenaan.
Sehubungan itu katanya, MFW telah mengambil tindakan segera untuk menghentikan penggunaan sistem tersebut serta-merta dan akan menilai semula tatakelola organisasi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta garis panduan Jakim.
“Kami menghormati sepenuhnya pandangan dan keputusan Jakim. Langkah menghentikan sistem ini diambil bagi memastikan tiada lagi kekeliruan di masa akan datang,” jelasnya.
Menurut beliau, sejak penubuhannya, MFW berpegang kepada visi dan misi membantu usahawan bukan Islam memahami dan mematuhi piawaian halal Jakim.
“Setakat ini, MFW telah berjaya membantu seorang usahawan bukan Islam memperoleh pensijilan halal rasmi daripada Jakim, hasil bimbingan dan program latihan yang dijalankan bersama agensi berautoriti dan eksekutif halal,” ujarnya.
MFW juga katanya, aktif menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam penganjuran latihan asas halal di luar negara sebagai usaha memperkukuh agenda halal Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Menariknya, organisasi ini turut mempunyai lima orang eksekutif halal yang terdiri daripada lepasan graduan bidang halal dari universiti tempatan di Malaysia,” katanya.
Pasukan itu katanya, memainkan peranan penting dalam memastikan semua aktiviti, bimbingan dan konsultansi yang dilaksanakan MFW selaras dengan piawaian halal dan panduan pihak berkuasa agama.
“Kami sentiasa percaya bahawa kejujuran, ilmu dan integriti ialah asas perjuangan halal. Pasukan kami bekerja dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya.
Dalam masa sama kata Noorman, MFW menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran spekulasi, fitnah dan kenyataan tidak tepat yang sedang tular dalam media sosial berkaitan organisasi tersebut.
Beliau menjelaskan, tujuh Ahli Jawatankuasa MFW yang berdaftar bawah
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) adalah beragama Islam.
“Pada 24 Ogos 2024 MFW telah berjumpa dengan Jakim dan telah menghentikan sistem kami dengan arahan daripada Jakim dan hanya digunakan untuk keahlian sahaja. Notis pemberhentian operasi kepada semua pegawai MFW juga telah dilakukan.
“Bagi melindungi integriti dan maruah organisasi, MFW akan membuat laporan polis terhadap kenyataan palsu dan tidak benar yang disebarkan secara terbuka di media sosial,” katanya.
Langkah itu ujarnya, bukan bertujuan menentang sesiapa, tetapi untuk mempertahankan kebenaran serta menegakkan keadilan.- MalaysiaGazette















