Zaidi Jatil.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyatakan sokongan penuh supaya ketuanya, Zaidi Jatil diberikan peluang sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Timbalan Ketua AMK Sabah, Vincent Fung Sze Zack berkata, pencalonan Zaidi itu selari dengan harapan golongan muda negeri itu untuk melihat suara anak muda diangkat dan diiktiraf.

Menurut beliau, sokongan itu bukan semata-mata berasaskan pertimbangan politik tetapi berdasarkan keyakinan terhadap kredibiliti dan rekod kepimpinan Zaidi yang konsisten memperjuangkan agenda reformasi serta membela kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

“Zaidi merupakan lambang generasi kepimpinan muda Sabah yang berprinsip, progresif dan berakar di lapangan.

“Beliau bukan sahaja berjaya memimpin gerakan anak muda Keadilan Sabah dengan disiplin organisasi yang kukuh, malah telah menzahirkan pendekatan politik yang matang dan berasaskan idea, sesuai dengan semangat reformasi yang diperjuangkan oleh PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Vincent, pencalonan Zaidi akan membawa mesej yang kuat bahawa PH menghargai kepimpinan muda tempatan yang berprinsip dan mempunyai rekod pengabdian kepada masyarakat.

Jelasnya, keputusan itu juga akan menjadi bukti nyata bahawa PH benar-benar komited terhadap pemberdayaan generasi muda dalam kepimpinan politik negeri.

“AMK Sabah percaya dengan memberi ruang kepada anak muda seperti Zaidi untuk bertanding, ia bukan sahaja akan memperkukuh jentera pilihan raya, tetapi juga menambah keyakinan rakyat terhadap agenda pembaharuan PH di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast