PEKAN – Sebuah rumah jenis sementara di Kampung Api Larat, dekat Nenasi musnah dalam kebakaran hari ini.
,Menurut kenyataan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, pihak menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira setengah jam kemudian, jam 5.23 petang.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah berukuran 30 kaki x 45 kaki persegi, dengan kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki, satu nozzle, serta satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 5.39 petang, dengan kekuatan lapan anggota dan bantuan logistik melibatkan sebuah jentera FRT, EMRS dan kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – MalaysiaGazette















