Tangkap layar video tular menunjukkan serang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipukul oleh beberapa individu selepas dituduh mencuri power bank di sebuah Projek Perumahan Rakyat di ibu negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dikatakan telah dipukul beberapa individu di kawasan medan seleradi ibu negara baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung kejadian berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Siasatan awal mendapati insiden tersebut berpunca daripada tuduhan suspek terhadap mangsa yang didakwa mencuri sebuah power bank milik rakan kepada salah seorang suspek terlibat.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan mengalami luka kecil di bahagian dahi serta mulut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, semakan polis mendapati, kes berkenaan telah direkodkan di bawah laporan Setapak 17850/25 dan disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa.

Hasil siasatan lanjut membawa kepada penangkapan tiga suspek lelaki Melayu berusia antara 49 hingga 61 tahun.

“Ketiga-tiga mereka ditahan di lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Beliau menambah, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta peranan setiap suspek yang terlibat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast